Assalammualaikum dan selamat pagi semua :)
Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rezekiNya dan nikmatNya atas kehidupan ini.
Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi kesempatan kepada hambaMu ini untuk menikmati kehidupan pada hari ini.
Pada hari ini, Ama ingin berkongsi berkenaan seorang sahabat Ama yang baru setahun Ama kenali. Jangka masa setahun ini sudah cukup untuk mengenali dirinya. Setahun ini juga pelbagai kisah pahit manis berlaku tetapi semuanya dapat di atasi. Berkat kesetiaan dan kesabaran ini membuatkan hubungan ini masih utuh dan lebih utuh lagi.
Sahabat.
Sahabat sepertimana yang kita perlukan? Adakah yang sentiasa ada di saat kita susah? Adakah yang sentiasa ada di saat kita gembira? Adakah yang sentiasa ada bersama kita setiap waktu? Adakah sahabat seperti itu yang kita perlukan? Sememangnya. Kita perlukan sahabat yang berada disisi kita di saat kita susah dan senang dan sentiasa ada di saat kita memerlukan pertolongannya.
Tetapi, adakah ini sudah cukup?
Tepuk dada, tanya iman.
Pasti jawapannya tidak, bukan?
Hal ini kerana, sahabat yang betul-betul kita perlukan ialah bukan sahaja yang sentiasa membantu kita saat susah senang, bahkan sahabat yang layak dipanggil dunia akhirat.
Sahabat dunia akhirat.
Di mana dia (sahabat) sentiasa mendoakan kebaikan buat diri kita. Di mana dia sentiasa melarang kita dari melakukan perkara yang haram. Di mana dia sentiasa mengingatkan bahawa dunia ini nak kiamat. Dia juga sentiasa mengingatkan diri ini atas nasihat yang pernah kita berikan pada dirinya dahulu. Dia juga sering kali menyebut "Jom kejar Akhirat".
Alhamdulillah, sepanjang kehidupan ini, Allah telah memberi Ama rezeki untuk bertemu dengan sahabat seperti ini. Sepanjang 19 tahun Ama meminjam segala pemberian Allah, Allah membalasnya dengan menghadirkan dirinya selepas keluarga Ama.
Sahabat.
Dia sering mengatakan bahawa dirinya tidak sempurna. Dirinya biasa-biasa sahaja. Tetapi bagi diriku dia lebih dari itu. Ama juga membantu dirinya serba sedikit kerana Ama tahu diri Ama sendiri tidak terbantu. Jadi apa salahnya kita saling bantu-membantu. Tak rugi apa pun, bahkan banyak manfaatnya.
Sahabat.
Dia hanyalah gadis biasa. Yang selalu merendah diri. Yang selalu mengalah dari segala segi. Yang ringan tangannya membantu apa sahaja kesusahan. Yang sering membiarkan dirinya di salahkan. Yang sering berkorban nyawa, hati dan perasaannya demi sahabatnya.
Sahabat.
Diri ini sudah menganggap dirimu sebagai adik, bukan sahabat. Keakraban antara dirimu dengan keluargaku juga sudah cukup menunjukkan yang kau sangat bermakna dalam hidupku selepas keluargaku. Bukan aku sahaja yang menyayangimu tetapi juga keluargaku. Kami menyayangimu. Kami sentiasa ada buat dirimu.
Sahabat.
Jangan pernah rasa bersalah atas apa yang saya beri selama ini pada awak, kerana apa yang awak berikan saya sendiri tidak terbalas. Hanya Allah yang mampu membalasnya.
Akhirnya, kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala-galanya yang telah awak berikan. Hanya doa yang saya hadiahkan buat diri awak. Semoga hubungan ini sentiasa di berkati Allah dan mendapat restu keluarga kita berdua. Dan, ingatlah awak. Walau apapun yang berlaku, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat awak.
Salam sayang dari sahabatmu yang kerdil ini.
p/s : Siapakah "dia" itu? Dia yang saya selalu tegaskan sebagai "adik" saya.