Saturday, 27 February 2016

Warkah dari Hati.

Assalamualaikum. 

Ayah, 
Kesempatan ini saya ingin meluahkan isi hati yang mungkin selama ini ayah tidak ketahui.
Selama ini saya pendam kerana saya tahu akan sampai suatu saat untuk saya luahkan.
Tetapi, tiada kudrat saya untuk luahkan di hadapan ayah. Hal ini kerana, saya takut saya tewas dengan diri saya sendiri.  

Ayah, 
Terima kasih buat segala pengorbanan yang telah ayah lakukan hanya untuk menggembirakan hati kecil anak perempuanmu ini.
Terima kasih atas segala susah payah ayah untuk menunaikan segala permintaan anak perempuanmu ini. 
Terima kasih atas didikan ayah untuk menjadikan saya perempuan teristimewa di dunia ini.
Terima kasih atas segala ilmu yang ayah berikan dan ajarkan sehingga anak perempuanmu ini kenal erti susah senang.

Ayah,
Segala permintaanku ayah tunaikan. Segala kemahuanku ayah izinkan. 
Segalanya ayah berikan dalam sekelip mata walaupun ayah yang terpaksa berkorban.

Ayah, 
Ketahuilah bahawa anak perempuanmu ini sedang cuba sedaya upaya mengejar SyurgaNya.
Ketahuilah ayah bahawa saya cuba berubah sedikit demi sedikit untuk menggapai RedhaNya.
Ketahuilah ayah, saya juga cuba mencari HidayahNya.

Ayah,
Saya mohon maaf atas kedegilan saya.
Saya mohon maaf atas kesalahan saya.
Saya mohon maaf, ayah.
Marahmu dalam diam. Tegurmu dalam sepi.

Ayah,
Andai ditakdirkan suatu hari nanti saya yang pergi dulu, saya ingin ayah tahu bahawa saya cuba membawa ayah yang tercinta ke SyurgaNya. Andai saya pergi dulu, saya mohon maaf kerana tidak sempat membalas segala pengorbananmu ayah. 

Ayah,
Pengorbananmu terlalu banyak untuk dihitung dengan jari. 
Terima kasih ayah. Saya sayang ayah.

Mama,
Terima kasih kerana melahirkan saya ke dunia milik Allah S.W.T ini.
Terima kasih kerana menyusukan saya dan meminjamkan saya setiap masa mama hanya untuk memberikan yang terbaik buat anak perempuanmu ini.
Terima kasih kerana sering kali menasihati anak perempuanmu ini tentang benar dan salah.
Terima kasih kerana sering menjadi peneman tikala saya dilanda masalah.

Mama, 
Bisingmu ada makna. Marahmu tanda sayang.
Bebelanmu tanda kisah. Tangisanmu tanda cinta.
Maafkan puterimu ini mama atas segala kesalahan yang telah saya lakukan.
Kadang kala emosiku mengganggu diriku. Kadang kala perasaanku menghancurkan fikiran warasku. 
Tetapi mama tetap bersabar dan menerima segala salah laku saya.

Mama, 
Andai ditakdirkan Allah saya pergi dulu. Ketahuilah bahawa saya sudah berusaha untuk meringankan bebanmu.
Ketahuilah bahawa saya sudah berusaha belajar untuk merasa penat lelahmu.
Ketahuilah bahawa saya juga sudah bersedia untuk menggantikan tugasmu hanya ingin dirimu berehat.

Mama, 
Andai diriku tidak sempat merasai bagaimana rasanya menjadi seorang ibu, ketahuilah bahawa saya sudah belajar dari mu mama. 
Segala ilmu yang diberikan amat bermakna. 

Mama,
Segala jerih perihmu tidak terbalas oleh saya.
Terima kasih mama. Saya sayang mama.

Adik2,
Terima kasih untuk kasih sayang yang diberikan.
Terima kasih untuk keceriaan yang kalian pamerkan.
Terima kasih untuk sokongan dan pertolongan yang kalian hulurkan.

Adik2,
Ketahuilah bahawa kakakmu ini sudah berusaha untuk menjadi contoh yang terbaik.
Ketahuilah bahawa kakakmu ini sudah berusaha belajar menyayangi kalian sepenuh hati.

Adik2,
Andai ditakdirkan saya pergi dulu, saya harap kalian tahu betapa saya sayangkan kalian.
Betapa saya selalu mendoakan kalian.
Betapa saya akan merindui gurauan dan kenakalan kalian.

Adik2, 
Segala kenangan kita bersama akan saya sematkan di dalam hati.
Terima kasih sayang2. Saya sayang kalian. 



p/s : Ini hanyalah nukilan yang ikhlas lahir dari lubuk hati saya yang paling dalam. Tetapi kasih sayang yang sebenar tidak mampu saya luahkan dengan kata2. Andai ayah, mama dan adik2 membacanya suatu hari nanti, ketahuilah bahawa betapa bersyukurnya saya mempunyai keluarga seperti ayah, mama dan adik2 :)

0 comments:

Post a Comment

 

NUR AMALINA ZAINI Template by Ipietoon Cute Blog Design

Blogger Templates